Peserta-peserta Sekretariat Solidariti Rakyat menikmati juadah berbuka puasa pada Himpunan #BukaPuasaBukaParlimen Enam Tuntutan Kepada Kerajaan Perikatan Nasional di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2021.

PARLIMEN adalah sebuah institusi yang mana kerajaan dipertanggungjawabkan untuk menjawab persoalan-persoalan wakil rakyat berkaitan urus tadbir kerajaan sehinggalah hal ehwal kewangan negara dan keselamatan negara.

Namun, amat malang apabila masih terdapat anggapan bahawa Parlimen adalah tidak penting dan hanya tempat Ahli-ahli Yang Berhormat bertengkar dan berbalah.

Melalui Parlimenlah rakyat dapat mengetahui ke mana wang negara dibelanjakan, melalui
Parlimenlah rakyat dapat maklumat salah tadbir kerajaan, melalui Parlimenlah kementerian yang bertanggungjawab menjawab isu-isu semasa yang berbangkit, melalui Parlimenlah rakyat didedahkan dengan usaha-usaha kerajaan yang terkini mengikut kementerian masing-masing.

Selain itu, wakil rakyat juga boleh membangkitkan perkara-perkara di kawasan yang
memerlukan perhatian kerajaan seperti bantuan tidak sampai, pembangunan kawasan perlu dilakukan untuk kemudahan rakyat di kawasan dan lain-lain lagi.

Ini semua dilakukan, didedahkan dan disalurkan melalui medium sesi Soal Jawab Lisan, Waktu-waktu Pertanyaan Menteri, perbahasan dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen termasuklah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Selain rakyat dapat melihat sidang Parlimen secara langsung di media perdana atau media sosial, rakyat juga dibekalkan dengan rekod penyata rasmi (hansard) dan jawapan bertulis daripada kementerian yang berkaitan.

Ini membolehkan rakyat dan masyarakat secara umum memainkan peranan semak dan imbang secara aktif. Cacamarba yang terjadi pada hari ini dan tadbir urus yang teruk oleh kerajaan adalah kerana tiada fungsi semak dan imbang oleh Parlimen.

Umpamanya, anda membuat kesilapan dan salah laku tetapi tiada siapa mampu untuk menegur dan anda tidak dipertanggungjawabkan atas kesilapan anda.

Isu seperti pembinaan laman web vaksin bernilai RM70 juta tetapi kualiti murahan, pesawat prototaip Israel yang memasuki ruang udara Malaysia, insiden pertembungan LRT, pengagihan bantuan laptop dan gajet untuk PDPR ini semua boleh dibangkitkan dan kerajaan dipertanggungjawabkan untuk menjawab sekiranya Parlimen bersidang hatta ke mana Menteri menghilang pun boleh dibangkitkan di dalam Parlimen.

Negara Malaysia adalah hak milik rakyat bukan hak milik kerajaan yang mana kerajaan tidak perlu dipertanggungjawabkan ke atas hal ehwal negara. Bukanlah keinginan rakyat ingin memanggil Perdana Menteri dan kerajaan bodoh. Apa yang diinginkan adalah suara, keperluan dan sengsara mereka ini didengari dan tadbir urus kerajaan dipertanggungjawabkan.

Jadi, masih mahu tanya apa kena mengena Parlimen dan kesusahan rakyat?

FATIHAH SALAHUDDIN,
Mantan Setiausaha Sulit kepada
Mantan Speaker Dewan Rakyat,
Pegawai Advokasi Institute for Research & Development of Policy,
Peguam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast