KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan nama Padang Chetty ditukar kepada Dataran Perbandaran Klang baru-baru ini.

Pertukaran nama itu masih di peringkat perbincangan malah isu itu dianggap telah selesai kerana pihak berkuasa tempatan itu dan beberapa Ahli Majlis membuat keputusan untuk menangguhkannya.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subramaniam berkata, Padang Chetty mempunyai tradisi serta warisan sejarah yang sepatutnya dikekalkan dan bukannya ditukar nama.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan ADUN Sentosa YB Gunaraj  untuk mendapatkan penjelasan tentang isu pertukaran nama Padang Chetty Klang. YB Gunaraj telah menjelaskan bahawa perkara ini telah dibincangkan bersama pihak MPK dan Ahli-Ahli Majlis lain.

“Satu pertemuan antara wakil rakyat dan MPK juga telah diadakan dan dipersetujui untuk mengkaji semula pertukaran nama ini setelah didesak oleh Ahli-Ahli Majlis MPK. Padang Chetty mempunyai tradisi dan sejarah yang tiada tolok bandingnya, pastinya isu ini akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thiban mengulas pendedahan MalaysiaGazette berhubung rancangan menukar nama Padang Chetty kepada Dataran Perbandaran Klang baru-baru ini.

Padang Chetty yang terletak di Little India Klang ini sudah wujud lebih 100 tahun dan satu ketika dahulu terkenal sebagai lokasi anak muda bermain hoki, bola sepak dan kriket.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengekalkan nama Padang Chetty selain mengisytiharkannya sebagai tapak warisan dan budaya negeri itu. -MalaysiaGazette

Apa relevan MPK tukar nama Padang Chetty? – KKIM