pkpd
Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sabah dan Pahang berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu bermula 4 Jun hingga 17 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan dilaksanakan di Lorong Taman Utama 5, 6, 7 dan 8, Taman Utama, Sandakan, Sabah selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan peningkatan ketara dalam tempoh singkat apabila sembilan kes positif direkodkan hasil daripada 13 saringan dengan kadar positif 69.2 peratus.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu, pula dibuat selepas 19 kes direkodkan hasil daripada 35 ujian saringan dilakukan dengan kadar positiviti 54.3 peratus.

“PKPD juga akan dilaksanakan di dua lokaliti dalam daerah Kota Kinabalu iaitu di Rumah Murah Kepayan dan Kampung Tanjung Aru Baru.

“Sebanyak 24 kes positif direkodkan masing-masing 16 di Rumah Murah Kepayan manakala lapan kes lagi di Kampung Tanjung Aru Baru.

“Selain itu, KKM mendapati kedua-dua lokaliti itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan boleh mendatangkan risiko penularan kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, di Pahang pula, sebanyak empat taman perumahan di Mukim Bentong, Bentong juga dikenakan PKPD sepanjang tempoh sama iaitu di Taman Bentong Makmur; Taman Harmoni; Taman Kolej dan Taman Desa Damai.

Ia susulan penemuan 19 kes jangkitan yang dikesan iaitu tujuh di Taman Bentong Makmur; Taman Harmoni (lima kes); Taman Kolej (tiga kes) dan Taman Desa Damai (empat kes) selepas KKM melakukan 126 ujian saringan terhadap penduduk keempat-empat taman perumahan terbabit.

Beliau berkata, KKM juga mendapati berlaku peningkatan ketara kes sporadik dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti direkodkan ialah tujuh peratus. – MalaysiaGazette