KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes lima individu yang didakwa atas pertuduhan melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong yang sepatutnya bermula hari ini di Mahkamah Sesyen, Selayang terpaksa ditangguhkan.
Ini berikutan arahan daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula di seluruh negara semalam berikutan penularan Covid-19.
Tengku Maimun telah mengarahkan pengendalian kes-kes perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah yang ditetapkan secara kehadiran fizikal hendaklah ditangguhkan sehingga tamat PKP.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid ketika dihubungi media hari ini berkata, pihaknya belum dapat memberitahu tarikh baharu perbicaraan.
“Ianya telah ditangguhkan seperti mana arahan daripada Ketua Hakim Negara manakala tarikh bicara baharu belum lagi ditetapkan,” katanya ringkas.
Sebelum ini Mahkamah telah menetapkan Mahkamah Sesyen menetapkan enam hari bermula 2 Jun ini untuk perbicaraan kes lima lelaki termasuk empat beradik yang didakwa melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang, tahun lalu.
Tertuduh tersebut ialah empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 52; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50; dan Yip Kok Weng, 60, serta pengurus syarikat sama, Ho Voon Leong, 59.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang, di sini, antara 2 dan 3 September tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini kelima-lima tertuduh dibenarkan ikat jamin, masing-masing RM400,000 oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Susulan pencemaran minyak dari kilang itu pada 3 September tahun lalu, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat di negeri itu susulan gangguan bekalan air selama beberapa hari. -MalaysiaGazette