Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng menegaskan moratorium pinjaman bank seharusnya tidak hanya ditawarkan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau perniagaan di bawah PKP 4.0.

Sebaliknya, mereka yang mengalami kehilangan pendapatan pekerjaan atau pendapatan perniagaan di bawah PKP 4.0 juga harus mendapat manfaat yang sama.

”Menafikan kumpulan M40 untuk tawaran yang sama bermakna kerajaan tidak bersimpati dengan keadaan kewangan semasa mereka, yang boleh menyebabkan mereka tergelincir ke kumpulan B40.

”Mereka yang berada dalam kumpulan M40 harus ditawarkan moratorium pinjaman bank kerana mereka adalah pembayar cukai yang menyumbang kepada tabung negara,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Jelasnya, ,oratorium pinjaman bank PKP 4.0 ini berbeza dengan moratorium pinjaman bank di bawah PKP 1.0 kerana faedah pinjaman sewa beli PKP 4.0 dikumpulkan untuk pembayaran di masa depan tidak seperti semasa PKP 1.0, yang mana faedah pinjaman sewa beli dikecualikan.

Faedah terkumpul pinjaman sewa beli seperti itu akan mengurangkan kos bagi bank dan kerajaan harus mendedahkan kos yang ditanggung oleh bank berbanding dengan keuntungan puluhan bilion selepas cukai mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh bersikap selektif dengan menggunakan kuasa darurat apabila ada keperluan politik untuk melakukannyaseperti memperuntukkan RM5 bilion dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin dan membiayai kos yang berkaitan dengan imunisas dengan meminda Akta KWAN tanpa kelulusan Parlimen.

Namun, Perdana Menteri didakwa enggan melakukan perkara yang sama untuk meminda berbagai undang-undang untuk memaksa industri perbankan bagi melanjutkan moratorium pinjaman secara automatik kecuali kumpulan 20 Teratas (T20).

Menurut beliau, moratorium pinjaman bank sehingga akhir tahun apabila Program Imunisasi Kebangsaan selesai dapat memberi manfaat kepada 8 juta individu dan syarikat Malaysia dan dengan mudah boleh diserap oleh keuntungan selepas cukai industri perbankan sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019 dan RM23 bilion pada tahun 2020.

Bagaimanapun, katanya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak berdaya untuk memaksa Bank Negara Malaysia atau bank-bank untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank secara automatik.

Guan Eng berkata, walaupun beliau tidak setuju dengan Tengku Zafrul dan boleh menunjukkan berbagai-bagai undang-undang di mana kuasa tersebut terletak kepada kerajaan untuk memaksa bank untuk patuh, pertikaian ini dapat diselesaikan dengan mudah dengan menggunakan kuasa darurat untuk meminda berbagai undang-undang selama tempoh krisis Covid-19.

Ini termasuk meminda Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang seperti Akta KWAN atau membawa kembali Akta Langkah Sementara Covid-19 untuk merangkumi industri perbankan yang melarang hukuman ke atas kegagalan melaksanakan kewajiban kontrak. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.