M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Pegawai penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diberikan kuasa mengkompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Langkah ini bertujuan untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berhubung keperluan 40% pekerja sektor swasta
untuk Bekerja Dari Rumah (BDR).

Oleh itu, mana-mana syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR yang terkini serta berlaku pelanggaran SOP akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan ini dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk BDR.

Sejak kategori BDR ini dibuka untuk aduan pada 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan telah diterima oleh KSM sehingga 2 Jun 2021.

Bagi tempoh 3 Mei sehingga 2 Jun 2021, aplikasi WFW ini telah menerima sejumlah 1,767 aduan bagi 16 kategori lain.

Daripada jumlah ini, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah sebanyak 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73 kes), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68 kes) dan lain-lain.

Menurut beliau, negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan sehingga kini adalah Kuala Lumpur (511 kes), diikuti Selangor (580 kes), Johor (223 kes), Pulau Pinang (134 kes) dan lain-lain.

”Saya menggesa semua majikan untuk mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan
terutamanya dalam tempoh yang kritikal ini. Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja,” tegas beliau.

Katanya, KSM komited dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara di samping mengambil tindakan segera ke atas isu-isu perburuhan yang dihadapi oleh golongan pekerja.

Para pekerja dinasihatkan untuk terus menyalurkan aduan dan permasalahan yang dihadapi melalui aplikasi WFW dan mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast