Penyeludupan arak tanpa duti membabitkan dua sindiket berjaya dipatahkan Kastam di Pelabuhan Utara dan Barat Klang pada 3 dan 29 Mei lalu. Gambar Ihsan JKDM.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan minuman keras tanpa duti dan kelulusan di Klang dekat sini baru-baru ini.

Kedua-dua sindiket kegiatan haram itu dipatahkan di Pelabuhan Barat dan Utara Pelabuhan Klang pada 3 dan 29 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, kedua-dua sindiket itu dikesan dalam sebuah kontena sepanjang 40 kaki di kedua-dua pelabuhan berkenaan.

Dalam kes pertama, pasukannya yang terlibat dalam pemeriksaan rutin di pelabuhan berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras membabitkan satu kontena bersaiz 40 kaki di gudang CFS2, Pelabuhan Barat.

“Rampasan melibatkan sebanyak 23, 076 liter minuman keras bernilai RM115,380 dan jumlah duti atau cukai bernilai RM1.071 juta.

“Pemeriksaan lanjut dalam kontena itu menemukan minuman keras berjenama Strong Southan disyaki belum diluluskan kastam.

“Sindiket itu menggunakan taktik licik apabila berdasarkan maklumat di dalam (borang) bill of landing barangan tersebut dinyatakan sebagai stainless steel welded pipe.

“Tetapi semasa pemeriksaan fizikal mendapati dagangan yang ditemukan berbeza berbanding apa yang dinyatakan dan tidak mempunyai kelulusan kastam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Zazuli, kes masih disiasat dan syarikat atau ejen penghantaran yang terbabit sedang giat dikesan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Manakala dalam kes kedua, pasukan sama pada 29 Mei lalu telah mematahkan satu lagi percubaan penyeludupan minuman keras di sebuah kontena bersaiz 40 kaki juga di Pelabuhan Utara.

Menurutnya, rampasan kali ini membabitkan minuman keras sebanyak 22,176 liter berharga RM110,880 membabitkan duti atau cukai kastam berjumlah RM346,500.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kontena penguatkuasa Kastam berjaya menemukan minuman keras berjenama Tiger Beer Lagers disyaki tiada kelulusan kastam.

Penyeludupan arak tanpa duti membabitkan dua sindiket berjaya dipatahkan Kastam di Pelabuhan Utara dan Barat Klang pada 3 dan 29 Mei lalu.Ihsan JKDM.

“Tetapi semakan mendapati ia diisytiharkan sebagai Castor Wheel menggunakan borang kastam 1. Minuman keras ini diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 3, jadual ketiga/Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Ejen perkapalan yang yerlibat dalam penyeludupan ini sudah dikenal pasti dan tindakan sedang diambil bagi mengesan ejen yang berkaitan untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Akta kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraud duti kastak dan mengelak larangan import di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda atau RM100,000 yang mana lebih bsar dan maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.-MalaysiaGazette