Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan diumumkan pada 10 Jun ini mulai pukul 10.00 pagi.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian di pautan myresult1.moe.gov.my atau
myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.

Selain itu, katanya, calon juga boleh membuat semakan menerusi  perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Tambahnya, perkhidmatan SMS itu akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada
10 Jun sehingga pukul 6.00 petang pada 17 Jun ini.

“Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan
mengenalpasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk
mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, untuk calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenalpasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan
keputusan peperiksaan. – MalaysiaGazette