KUALA LUMPUR – Satu lagi kajian klinikal membabitkan vaksin baharu Covid-19 diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 28 Mei lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian klinikal itu membabitkan produk SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated, 5μg/0.5mL yang dikilangkan oleh Shenzhen Kangtai Biological Products Co, Ltd di China.
Menurutnya, kajian klinikal fasa 3 vaksin itu akan dijalankan di lapan pusat penyelidikan di Malaysia dengan sasaran peserta sebanyak 3,000 orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.
Ia dijangka mengambil masa selama 15 hingga 19 bulan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham memberitahu, selain Malaysia, kajian klinikal itu turut disertai Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.
“Vaksin terbabit juga sudah diluluskan oleh China melalui kelulusan penggunaan kecemasan pada 14 Mei lalu,” ujarnya.
Tambah Dr. Noor Hisham, kajian klinikal vaksin Covid-19 dijalankan di Malaysia dapat memberikan maklumat klinikal berkaitan keberkesanan dan keselamatan vaksin serta maklumat berkenaan kesesuaiannya kepada rakyat di negara ini.
“Ini adalah kelebihan yang diperlukan oleh kerajaan untuk memacu ke arah capaian sasaran imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette