Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar melihat proses pengagihan ayam segar untuk diagihkan kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,300 ayam percuma diedarkan kepada 7,500 penduduk Pangsapuri Sri Penara, Bandar Tasik Permaisuri di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 28 Mei lalu hingga 10 Jun ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, program itu mendapat sumbangan daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan kebajikan penduduk dalam usaha mengurangkan beban mereka.

Jelas beliau, sumbangan juga akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan bekalan keperluan asas penduduk tidak terputus terutama kepada mereka yang mempunyai anak kecil.

“Selain bantuan ayam segar pada hari ini dan esok, makanan lain dan keperluan anak-anak seperti lampin pakai buang sentiasa ada dalam simpanan kami untuk diedarkan bagi mereka yang memerlukan.

“Saya harap rakyat faham kerana kerajaan kena buat sekatan tertentu serta pada masa sama, mahu memastikan rantaian ekonomi dapat diteruskan.

“Jadi rakyat dan peniaga terutama di Parlimen Bandar Tun Razak serta menganggap virus Covid-19 ini masih bahaya dan belum selesai sepenuhnya dengan jumlah kes masih tinggi namun tengah melandai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan  ayam segar percuma di Pangsapuri Penara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di sini hari ini. – MalaysiaGazette

Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar meninjau persediaan pembungkusan bahan makanan kering untuk diagihkan kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Penara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2021.