Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Empat rumah panjang Batang Oya, Dalat di Sarawak antara enam lokaliti yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 7 hingga 20 Jun ini.

Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Panjang Anak Umba, Rumah Panjang Tulu Anak Sli, Rumah Panjang Duah Anak Entingi dan Rumah Panjang Balin Anak Gema.

Turut dilaksanakan PKPD adalah Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

Menurut Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan telah mengesan sebanyak 27 kes positif Covid-19 daripada 40 yang disaring di rumah panjang tersebut.

Turut dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama adalah Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh di Pahang.

“Sehingga kini, sebanyak 22 kes positif telah dilaporkan hasil daripada 112 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 20 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Asrama Pekerja Kilang Eco Medi Glove, Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping di Perak turut dilaksanakan PKPD bagi tempoh yang sama.

Asrama yang dilaksanakan PKPD turut melibatkan Blok A, B, C dan D di Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping di Perak.

“Sehingga kini, sebanyak 75 kes positif Covid-19 telah dilaporkan hasil daripada 230 ujian saringan yang dilakukan  dengan kadar kebolehjangkitan yang ditinggi di lokaliti itu,” ujarnya.

Tiga perkampungan Sabah iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa, Blok 5 Hilltip dan Kampung Bukit Kukusan Tanjung Batu juga dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama selepas 31 orang disahkan positif.

Begitu juga FELDA Umas 4, Kalabakan dan Apartmen Taman Permata Sandakan di Sabah.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam tempoh singkat iaitu sebanyak 18 kes positif telah direkodkan dan hasil daripada 59 ujian saringan dengan kadar positiviti 30.51 peratus,” kata Ismail Sabri.

Bermula esok hingga 19 Jun ini pula, PKPD di Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah juga akan dilaksanakan.

Jelas Ismail Sabri, kedua-dua perkampungan itu juga menunjukkan kadar positif Covid-19 yang tinggi.- MalaysiaGazette