Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan Pahang dapat menunjukkan keazaman serta kebijaksanaan untuk membuka semula sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) maka Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai alasan untuk tidak membuka Parlimen yang merupakan badan perundangan utama negara.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Pahang berkata, kerajaan tidak mempunyai alasan untuk mengelakkan diri daripada amanah ini kerana negara sedang mendepani cabaran yang cukup getir dan ia bukanlah alasan untuk menutup Parlimen.

Sebaliknya, persidangan Parlimen lebih diperlukan dalam pandemik ini, biarpun dalam bentuk maya ataupun fizikal, supaya isu-isu seperti Covid-19, kemelut ekonomi, krisis pendidikan serta kemiskinan yang melanda golongan B40 boleh dibahaskan dalam Dewan Parlimen.

”Perikatan Nasional menggunakan alasan membendung gejala wabak Covid-19 untuk menjustifikasi keputusan untuk mengisytiharkan darurat. Namun rakyat semakin sedar bahawa proklamasi darurat sebenarnya tidak berkaitan dengan kerja-kerja menangani ancaman Covid-19.

”Ketika virus Covid-19 mula merebak pada bulan Mac 2020, kerajaan juga mampu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara tanpa proklamasi darurat.

”Selanjutnya, pada bulan Jun tahun ini, walaupun negara ini masih dalam tempoh pelaksanaan darurat, kerajaan juga terpaksa mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh kerana kes positif serta kes kematian Covid-19 yang hilang kawalan.

”Secara ringkasnya, kunci untuk memerangi wabak adalah kawalan sasaran terhadap pelbagai kegiatan sosial, dan bukanlah menutup Parlimen, menurut mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu adalah dari ADUN Bilut, Lee Chin Chen (Ketua Pembangkang DUN Pahang), ADUN Triang, Leong Yu Man, ADUN Tras, Chow Yu Hui, ADUN Sabai, Kamache Doray Rajoo, ADUN Ketari, Young Syefura, ADUN Mentakab, Woo Chee Wan dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong

Kata mereka, sekiranya Parlimen tidak bersidang dalam masa yang terdekat, ia akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap sistem demokrasi berperlembagaan, ekonomi negara mahupun sistem sosial-politik.

Biarpun dalam tempoh pandemik ataupun tidak, setiap sudut kehidupan rakyat dipengaruhi oleh polisi kerajaan.

Sumber kesahan sesuatu kerajaan mesti datang dari Parlimen yang mana ahlinya dilantik oleh rakyat, jika tidak, kerajaan tersebut akan menjadi sesebuah kerajaan oligarki yang tidak berasaskan sokongan rakyat.

”Oleh itu, kami menyeru kerajaan Perikatan Nasional supaya mengikut jejak kerajaan negeri Pahang dan memanggil sidang Parlimen tanpa berlengah-lengah.

”Perkara ini harus diutamakan dan disegerakan untuk membolehkan kerajaan menerima semak dan imbang daripada ahli-ahli Parlimen dalam dewan sidang yang mulia. Hanya dengan cara ini, negara ini mampu memerangi wabak Covid-19 bersama-sama,” ujar mereka.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pahang telah menghantar notis bertarikh 1 Jun lalu kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang untuk memaklumkan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri Pahang akan diadakan di antara 16 sehingga 20 Ogos 2021 tertakluk kepada akhir tempoh darurat yang tamat pada 1 Ogos 2021.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri juga diminta untuk mencadangkan usul-usul serta mengemukakan pertanyaan lisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast