Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kajian rancangan konseptual untuk Parlimen hibrid perlu melibatkan Ahli Parlimen pembangkang dan bukan sekadar prerogatif kerajaan atau Kabinet.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Parlimen adalah milik semua Ahli Parlimen dan bukan hanya Ahli Parlimen kerajaan.

Oleh itu, katanya, Ahli Parlimen pembangkang perlu dibenarkan memberi input dan menyumbang pandangan mereka.

Kegagalan untuk berbuat demikian berisiko menjadikan Parlimen hibrid sekadar “rubber stamp” walaupun sebelum ia bersidang, ujarnya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Perikatan Nasional kini berada di bawah tekanan dan terpaksa bersetuju secara prinsip untuk mengadakan sesi Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara hibrid selepas gagal mengawal dan membendung lonjakan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19.

Disebab itu, kerajaan sedang mengkaji konseptual Parlimen hibrid yang mana Ahli-Ahli Parlimen dapat mengambil bahagian secara fizikal dan maya walaupun hampir semua Ahli Parlimen  mahu mengambil bahagian secara fizikal dalam sesi Parlimen berbanding secara maya.

”Tidak ada siapa yang tahu bentuk, sifat atau format Parlimen hibrid ini. Ini akan menimbulkan pertikaian mengenai Ahli Parlimen mana yang dapat mengambil bahagian secara fizikal dan prinsip bahawa semua Ahli Parlimen harus dilayan secara saksama berdasarkan Peraturan Tetap,” katanya dalam kenyataan di sini.

Guan Eng menjangkakan sudah tentu, Ahli Parlimen tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menerima sesi Parlimen hibrid, yang lebih baik daripada tidak ada sidang Parlimen sama sekali.

Namun, katanya, kebimbangan terbesar ialah Ahli Parlimen yang hadir secara maya dinafikan hak untuk memainkan peranan perlembagaan mereka sepenuhnya.

Sedangkan, tidak ada alasan mengapa semua Ahli Parlimen tidak boleh mengambil bahagian secara fizikal apabila mereka telah divaksinasi dengan lengkap.

”Apa gunanya memvaksinasi semua Ahli Parlimen dan masih menutup Parlimen ketika sekolah, premis perniagaan dan bahkan stadium sukan boleh dibuka sebelum PKP, walaupun bukan semua orang telah divaksin?

”Sekiranya kerajaan khuatir terhadap 380 kakitangan Parlimen yang masih tidak diberi vaksin, maka mereka seharusnya telah diberi vaksin lebih awal.

”Keengganan untuk melakukannya menunjukkan kurangnya kemahuan politik atau niat sebenar untuk tidak membenarkan sesi Parlimen bagi mengelakkan sebarang isyarat jelas bahawa Kerajaan PN telah kehilangan majoriti parlimennya untuk memerintah,” dakwa beliau.

Jelasnya, kerajaan harus menghormati demokrasi berparlimen dan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Proklamasi Darurat tidak melarang Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk bersidang.

Oleh itu, kerajaan tidak boleh mencairkan atau mengurangkan kuasa Parlimen untuk berfungsi sepenuhnya supaya kegagalan keseluruhan kerajaan oleh PN dalam mengurus pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi yang perlahan dapat ditangani dan diperdebatkan sepenuhnya.

Tambahnya, sidang Parlimen fizikal yang biasa berbanding dengan Parlimen hibrid akan membolehkan Parlimen mencari jawapan serta menggerakkan usaha keseluruhan masyarakat untuk memerangi dan mengatasi Covid-19 melalui Program Imunisasi Kebangsaan yang pantas dan lancar. – MalaysiaGazette