Rakaman video menunjukkan seorang penumpang diserang dalam metro. foto Agensi

LOS ANGELES – Pihak berkuasa Los Angeles sedang menyiasat susulan rakaman video yang menunjukkan beberapa penumpang Asia yang tidak bersalah ditampar di sistem metro tempatan.

Lembaga Pengangkutan Metropolitan Los Angeles dalam satu kenyataan berkata, dua warga Asia diserang secara berasingan pada 3 Jun lalu.

Pihak berkuasa sedang berusaha mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai bila dan di mana serangan itu terjadi dan siapa yang merakam insiden tersebut.

Para penyiasat juga masih menentukan apakah mangsa dipilih kerana kaum atau kemungkinan kejadian berpunca daripada jenayah kebencian.

“Metro mempunyai dasar toleransi sifar untuk sebarang tindakan keganasan terhadap pelanggan atau pekerja.

”Kami dengan tegas mengutuk setiap kesalahan yang dilakukan atas nama bangsa, agama, jantina atau asal negara,” kata Stephanie Wiggins, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pengangkutan Metropolitan Los Angeles dalam satu kenyataan.

Metro mengatakan ia juga menjalankan kempen “Stop Asian Hate” yang merangkumi iklan di bas dan kereta api. – MalaysiaGazette