BUDAPEST – Ribuan rakyat Hungary melancarkan bantahan menentang pembukaan kampus universiti China di ibu kota negara tersebut.
Rata-rata rakyat mendakwa projek berkenaan akan membantutkan pembangunan pendidikan tinggi tempatan dan meningkatkan pengaruh serta dominasi pihak berkuasa komunis China.
Kerajaan sayap kanan Perdana Menteri, Viktor Orban mempunyai kerjasama diplomatik yang utuh dengan Beijing.
Malah pada awal Jun ini, Hugary menyekat kenyataan Kesatuan Eropah yang mengkritik layanan China ke atas Hong Kong.
Rakyat Hungary menentang keras pembinaan kampus Universiti Fudan di Budapest dan berarak di atas jalan-jalan utama di BUdapest ke arah bangunan Parlimen bagi menyatakan rasa tidak puas hati dengan pendekatan terbaharu itu.
“Orban dan partinya, Fidesz mencerminkan diri mereka sebagai anti komunis tetapi pada realitinya puak komunis menjadi rakan mereka,” dakwa seorang pelajar universiti, Szonja Radics semasa perarakan itu.
Seorang lagi pelajar, Patrik berkata, sebarang dana kerajaan yang diperuntukkan untuk pembinaan kampus universiti Fudan perlu digunakan untuk menambahbaik sistem pendidikan tinggi universiti tempatan dan tidak seharusnya mengutamakan kampus negara asing.
Pembinaan Kampus Universiti Fudan di Budapest dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$1.2 bilion.
Nilai itu didakwa lebih besar daripada apa yang kerajaan Orban belanjakan untuk sistem pendidikan tinggi negara itu pada 2019. -MalaysiaGazette















