5,738 new Covid-19 cases have been recorded today and shifted the cumulative Covid-19 tally to 678,764 cases Covid-19 deaths Rt value
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kes keracunan makanan di negara ini tahun lepas menunjukkan penurunan sebanyak 44.2 peratus iaitu daripada 516 kes kepada 288 kes berbanding tempoh sama  tahun 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun masih terkawal, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memandang serius isu berkaitan memandangkan soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan.

Dalam kenyataan media sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang disambut hari ini dengan slogan ‘Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama’, Dr Noor Hisham menyatakan walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19, KKM tetap memastikan aktiviti pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan.

Pada tahun lepas, sebanyak 66,210 premis makanan di seluruh negara diperiksa dan 90.1 peratus daripadanya didapati bersih, manakala 1,534 (2.32 peratus ) tidak bersih termasuk restoran dan kedai makan dan telah diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Selain itu, sebanyak 19,789 notis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah rosak.

Dr Noor Hisham menyatakan komitmen KKM memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat di sepanjang rantaian makanan dengan menggalakkan penglibatan semua pihak. – MalaysiaGazette