Mbappe tidak akan berhijrah ke mana mana kelab di Eropah sampai bila-bila masa kata Presiden PSG, Nasser.

PARIS – Bintang muda sensasi, Kylian Mbappe tidak akan meninggalkan Paris Saint Germain (PSG) dalam apa jua keadaan sekali pun.

Kata-kata dari Presiden Kelab Ligue 1 Perancis, Nasser Al-Khelaifi sekaligus memberi nokhtah kepada spekulasi yang mengaitkan pemain muda Perancis itu akan menyertai Kelab La Liga Sepanyol Real Madrid.

Bintang berusia 22 tahun itu mempunyai kontrak yang berbaki setahun lagi di Paris dan masih belum memperbaharuinya.

Rakan sepasukannya dari Brazil, Neymar menyatakan komitmennya bersama kelab itu selepas menyambung kontrak jangka panjang baru-baru ini.

Los Blancos kian lama berminat untuk khidmat Mbappe dan bersedia mengeluarkan dana besar sekiranya PSG bersedia melepaskan pemain itu.

Namun, Nasser bertegas kelabnya tidak akan menjual pemain itu sampai bila-bila.

“Biar saya berterus terang kepada kelab-kelab rantau ini (Eropah), Kylian akan terus kekal di PSG. Kami tidak akan menjual dia dan dia tidak akan meninggalkan kelab secara percuma.

“Saya tidak berkongsi butiran kepada media mengenai rundingan yang sedang berlangsung antara kelab dan Mbappe namunĀ apa yang saya boleh jelaskan sekarang adalah proses berjalan lancar dan segalanya akan dimuktamadkan dengan baik,” katanya.

Ketegasan itu sekali gus tamparan kepada usaha Real Madrid untuk memujuk Mbappe.

Nasser juga menambah, Paris dan Perancis adalah tanahair Mbappe dan dia mempunyai misi bersama kelab berkenaan.

“Dia bukan hanya berperanan sebagai pemain profesional untuk kelab dan negara tetapi bertanggungjawab mempromosikan Ligue 1 serta tanahairnya.

“Dia budak yang sangat hebat sebagai individu dan juga atlet dan dia pasti akan memenangi anugerah Ballon d’Or satu hari nanti, saya yakin 100 peratus.

“Lagi pun tidak wujud keperluan dia (Mbappe) berhijrah ke kelab lain, sebab segalanya ada di sini dan cuba terangkan kepada saya kelab mana yang mempunyai cita-cita dan projek pembangunan yang boleh menyaingi PSG?”soalnya.-MalaysiaGazette