Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menggunakan nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam satu kenyataannya, pihaknya menerima maklumat daripada Polis Diraja Malaysia berhubung aktiviti penyamaran sebagai pegawai LHDN oleh pihak tertentu bagi tempoh dari 1 Januari hingga 27 Mei lalu melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 556 kes dilaporkan dengan sindiket terbabit menggunakan modus operandi menghubungi mangsa melalui panggilan telefon.

Suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDN seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.

“Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguat kuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.

“Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP,” katanya.

Tambah LHDN lagi, mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan lakukanlah pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.

Orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDNM atau klik capaian pantas di http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&
bt_unit=2&bt_sequ=1.

LHDN turut menegaskan agensi itu tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi malah, sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

Selain itu katanya, bagi pembayaran cukai juga, pembayar cukai hendaklah memastikan bayaran cukai dibuat kepada penama seperti pada jadual di bawah untuk memastikan bayaran tersebut benar-benar masuk ke akaun LHDN dan seterusnya mengelakkan diri daripada ditipu oleh scammer. – MalaysiaGazette