updating MySejahtera Ismail Sabri Yaakob Sulu Sultan Sabah claims
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah undang-undang termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Justeru Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan mana-mana kompaun yang sudah dikeluarkan atas kesalahan itu perlu dibatalkan.

“Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP yang sudah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, perkara itu juga termasuk kesalahan yang melanggar SOP melibatkan syarikat atau kilang yang beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

Jika ia berlaku, ujarnya, tindakan penguatkuasaan perlulah dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas lebih dari masa yang ditetapkan.

Jelasnya, kesalahan bukan dilakukan oleh pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan majikan maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan.

“Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan untuk melaksanakannya di rumah maka kompaun adalah kepada majikan juga,” katanya.

Walaupun tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342 jika tidak mengemaskini MySejahtera, namun sebagai warga yang mahu rangkaian Covid-19 terputus, semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab dengan mengemaskini aplikasi MySejahtera.

“Ini kerana MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat tetapi yang lebih penting adalah melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast