Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sabah hari ini menerima arahan pelaksanaan lima kawasan baharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob, lima kawasan itu adalah Kampung Kebayau, Kampung Batu Layar, Taman Wawasan, Beaufort, dua lokaliti di Sentosa, Sandakan dan Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Kelima-lima itu mencatatkan sebanyak 93 kes positif Covid-19 keseluruhan dengan tertinggi di Taman Wawasan, Beaufort dengan 23 kes.

Semua PKPD di Sabah itu berkuatkuasa sehingga 23 Jun ini.

Selain itu, Kampung Sungai Pechala di ibu kota turut dikenakan pelaksanaan PKPD.

“Sehingga 8 Jun, sebanyak 65 kes kes positif Covid-19 telah dilaporkan dan KKM mendapati berlaku peningkatan ketara dalam tempoh dua minggu di lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur berkuat kuasa 10 Jun sehingga 23 Jun,” kata Ismail Sabri.

Dua PKPD dilanjutkan bermula esok sehingga 22 Jun depan.

PKPD itu adalah PKPD Ladang FGV Kalabakan Selatan, Kalabakan, Sabah setelah 56 kes positif dikesan di lokaliti itu.

Turut dilanjutkan PKPD Felda Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor dengan 209 kes positif Covid-19 direkodkan setakat ini.

Dalam pada itu, tiga PKPD ditamatkan hari ini iaitu tiga lokaliti di Tanjung Manis, Mukah, Sarawak, dua lokaliti dalam daerah Tawau, Sabah dan Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan. – MalaysiaGazette