Penduduk setempat yang beratur panjang untuk menerima ujian saringan Covid-19 peringkat DUN Paya Jaras secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Fasa Ketiga secara percuma dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh negeri itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Fasa Ketiga kelak akan memberi tumpuan saringan di kawasan hotspot kes Covid-19 dan kawasan industri serta kilang.

“Ramai yang berpendapat bahawa Kerajaan Negeri harus memfokuskan kepada usaha vaksinasi berbanding saringan. Namun, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa usaha ujian saringan harus dilaksanakan serentak sehingga ‘herd immunity’ dicapai. ]

“Antara contoh kita boleh lihat adalah di United Kingdom. Pada November tahun lalu, Kerajaan British melancarkan Operation Moonshot, sebuah inisiatif saringan secara besar-besaran di seluruh United Kingdom sebagai langkah mengawal pandemik Covid-19,” katanya ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 menerusi dalam talian hari ini.

Untuk rekod, Program Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Percuma Fasa Satu dan Dua oleh negeri itu merangkumi saringan di kawasan panas dan di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Fasa pertama telah dilaksanakan 8 Mei lalu manakala Fasa Kedua pula bakal tamat pada 10 Jun ini.

Menurut Amirudin, sehingga 8 Jun 2021, seramai 117,314 individu telah menjalani ujian saringan Covid-19 Fasa Dua.

Beliau turut menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pelaksanaan saringan percuma oleh negeri itu baru-baru ini.

“Menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor melalui Kenyataan Akhbar DYMM Sultan Selangor pada 8 Jun 2021 yang memuji tindakan melaksanakan Ujian Saringan Covid-19 secara percuma, Kerajaan Negeri meneruskan kaedah proaktif menangani penularan wabak dengan Ujian Saringan Covid19 Fasa Ketiga dengan peruntukan berjumlah RM 10.7juta,” tambahnya.

Sementara itu, menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Amirudin hari ini turut mengumumkan inisiatif ‘Home Assessment Kit’ ataupun kit penilaian rumah akan disediakan bagi mereka yang telah dikesan positif melalui ujian saringan yang dilaksanakan.

Kit ini akan mengandungi facemask KN95, thermometer, oximeter, ubat-ubatan dan kit ujian air liur (saliva test kit).

Ini akan membantu para pesakit yang sedang dikuarantin untuk menilai keadaan kesihatan mereka dengan bantuan petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui aplikasi SELangkah. – MalaysiaGazette