PUTRAJAYA – Seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) direman lima hari hingga 6 September ini di Mahkamah Majistret di sini berhubung pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas membenarkan permohonan SPRM bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas lelaki berusia 60-an itu.

Permohonan reman itu bagi membantu siasatan SPRM berkaitan dakwaan salah laku dan kelemahan tadbir urus TH dan ia dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Siasatan itu dipercayai berkaitan isu pajakan hotel di Arab Saudi yang dibangkitkan dalam Laporan RCI TH, khususnya membabitkan urusan penyewaan jangka panjang beberapa hotel di Makkah dan Madinah.

Menurut laporan RCI, TH terlibat dalam penyewaan empat hotel di Arab Saudi antara 2015 hingga 2017 dengan jumlah bayaran pendahuluan kira-kira 1.43 bilion riyal Saudi.

Bekas menteri UMNO itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 10.25 pagi tadi dengan memakai baju-T berwarna jingga dengan diiringi pegawai SPRM.

Bekas ahli Parlimen dari utara itu kemudiannya beredar dari Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas proses reman selesai.

Semalam, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Nama lelaki tersebut turut tersenarai sebagai antara 45 saksi yang memberikan Akuan Berkanun kepada RCI ketika suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH. 

Pada awal Ogos lalu, SPRM menahan dua individu termasuk seorang pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah serta penyelewengan kontrak yang dikaitkan dengan penemuan RCI.

Beberapa minggu kemudian, SPRM menahan dan memanggil tujuh individu lain termasuk seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) TH kemudian direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan wang pelaburan dan saham bernilai kira-kira RM190 juta.

Pada 27 Ogos lalu pula, SPRM mendapatkan perintah reman tujuh hari terhadap bekas Pengerusi TH dan seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan berkaitan penemuan RCI.

Kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan 1 September 2026 selepas tempoh reman tujuh hari tamat dan proses rakaman keterangan mereka dilengkapkan pegawai penyiasat SPRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here