KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesan 23 varian baharu SARS-CoV-2 antara 3 Jun hingga 8 Jun lalu, yang mana kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 19 kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2)
Varian Beta dari Afrika Selatan dan Delta dari India.
Kes varian Beta yang telah dilaporkan merangkumi lapan kes di Selangor, tiga kes di Putrajaya dan dua kes di Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah serta masing-masing satu kes di Perak dan Perlis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, manakala empat kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua (2) di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Sehingga 9 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 161 kes.
Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 145 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.
VOC yang dilaporkan adalah seperti berikut:
• 123 kes adalah varian Beta (B.1.351) (semua kes jangkitan tempatan);
• 13 kes varian Delta (B.1.617.2) (8 kes jangkitan impot dan tiga kes jangkitan tempatan); dan
• Sembilan kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) (5 kes jangkitan impot dan 4 kes jangkitan tempatan).
VOI yang dilaporkan pula adalah seperti berikut:
• 12 kes adalah varian Theta (P.3) (kesemua kes jangkitan tempatan);
• Tiga kes adalah varian Eta (B.1.525) (kesemua kes jangkitan impot); dan
• Satu kes varian Kappa (B.1.617.1) (jangkitan impot).
KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.
Beliau menasihatkan masyarakat segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.
Ini juga merupakan salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti. – MalaysiaGazette