Antara suspek yang ditahan polis terlibat dalam parti liar di sebuah kondominium di Butterworth di sini semalam.

BUTTERWORTH – Enam individu termasuk seorang wanita yang sedang leka berhibur dalam parti liar terkedu sebaik melihat unit kondominium mereka diserbu polis semalam.

Tangkapan ke atas enam individu berusia lingkungan 21 hingga 38 tahun pada jam 2.30 pagi itu turut mendapati lima daripada mereka berada dalam pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul bertujuan berhibur.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif dadah jenis syabu, manakala seorang lelaki dan perempuan positif ketamin.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah pembesar suara dan alat paparan laser yang digunakan untuk parti liar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorzainy, kesemua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun kepada 191 individu atas pelbagai kesalahan melanggar SOP membabitkan nilai RM725,500 sepanjang tempoh PKP penuh sejak 1 Jun lalu sehingga semalam.

“Rentas daerah dan negeri merupakan kesalahan paling tinggi iaitu kompaun berjumlah RM330,000 yang dikeluarkan kepada 67 individu.

“Kita berharap orang ramai untuk terus mematuhi SOP dan berada di rumah sepanjang pelaksanaan PKP penuh ini serta meminta memaklumkan kepada polis sekiranya melihat sebarang aktiviti pelanggaran SOP,” kata Noorzainy. – MalaysiaGazette