Mangsa kemalangan tren LRT dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2021.

PENGANGKUTAN awam adalah salah satu alternatif yang praktikal untuk mereka yang bekerja di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur, termasuk juga di bandar-bandar besar lain juga di seluruh Malaysia. Selain dari bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing, tren Transit Aliran Ringan (LRT) selalunya menjadi pilihan disebabkan faktor lokasi, kemudahan, kecekapan dan kadar tambang yang berpatutan. Penulis sendiri pernah menggunakan perkhidmatan LRT selama hampir 3 tahun ketika bekerja di salah sebuah bank di ibu kota.

Secara spesifiknya di negara kita, kemalangan yang melibatkan LRT adalah sangat jarang
berlaku sehinggalah tanggal 24 Mei 2021, yang mana kita semua dikejutkan dengan insiden perlanggaran dua buah tren LRT. Kejadian malang ini telah menyebabkan 47 orang penumpang cedera parah dan 166 orang cedera ringan. Insiden ini adalah yang pertama kali dalam sejarah perkhidmatan LRT di negara ini, yang menyaksikan pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Selain kecederaan fizikal, pastinya mangsa yang terlibat secara langsung di dalam insiden ini akan merasa trauma, bahkan boleh memberi implikasi psikologi jangka pendek dan jangka panjang. Sewajarnya para pengguna memahahami hak-hak mereka apabila berlaku insiden sebegini. Antara tuntutan yang boleh dibuat ialah melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang menyediakan "Skim Bencana Pekerjaan".

Skim ini memberi perlindungan kepada pekerja  yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya. Perlindungan di bawah skim ini meliputi "kemalangan semasa dalam perjalanan mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya, dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya, dan juga di
antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan."

Selain dari PERKESO, pengguna yang mengambil polisi insuran peribadi ‘Personal Accident’ (PA) juga adalah dilindungi dan boleh membuat tuntutan kepada syarikat insurans bergantung kepada polisi syarikat insuran yang berkenaan. Jika polisi itu menyediakan perlindungan kecederaan disebabkan kemalangan ketika menggunakan kenderaan awam, rawatan pesakit luar dan sebagainya, maka pemegang polisi boleh mengemukakan tuntutan yang berkenaan.

Kebiasaannya, PA mensasarkan tuntutan untuk kecacatan kekal dan kematian.
Selain dari tuntutan PERKESO dan PA, fokus utama hak pengguna perkhidmatan awam ialah tindakan mahkamah (civil claim) di bawah undang-undang tort. Mangsa nahas LRT boleh memfailkan tuntutan selepas mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab. Di bawah prinsip ‘vicarious liability’, tindakan saman perlu dimulakan kepada pekerja dan juga syarikat, kerana dari segi undang-undang tort, majikan perlu menanggung tindakan pekerjanya.

Ini bermakna, Prasarana Malaysia Berhad mungkin berdepan dengan tuntutan saman dari pihak mangsa (plaintiff). Nilai yang boleh dituntut bergantung kepada jenis dan kadar kecederaan yang dialami, kadar kecederaan. Tuntutan dan nilai pampasan juga merangkumi kepayahan, kesusahan dan/atau kerugian-kerugian lain yang dialami. Selain kecederaan fizikal, kecederaan mental iaitu impak psikologi juga boleh dituntut, di bawah prinsip ‘nervous shock’.

Sebenarnya, terdapat satu kes yang agak serupa pernah berlaku pada tahun 2002 di mana pihak Monorail Malaysia telah disaman oleh plaintiff dalam insiden kecuaian syarikat tersebut. (David Chelliah v. Monorail Malaysia Technology Sdn Bhd & Ors [2009] 3 CLJ 771). Oleh itu, adalah sangat penting untuk setiap pengguna pengangkutan awam memahami hak undang-undang masing-masing agar dapat mengambil tindakan dan keputusan yang terbaik apabila berlaku nahas sebegini.

Dr Suzi Fadhilah Ismail
Pensyarah kanan Undang-Undang Sivil,
Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)