Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN –  Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia digesa supaya menjalankan program pemantauan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit kulit kental berbonjol (LSD).

Gesaan itu dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) susulan laporan media mendakwa penyakit berkenaan yang menjangkiti kulit haiwan ternakan dikesan di ladang lembu di beberapa negeri.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, penyakit kulit kental berbonjol itu boleh menimbulkan masalah kronik dan membabitkan kematian haiwan ternakan ladang yang dijangkiti.

“LSD adalah penyakit zoonotik membabitkan lembu dan kerbau yang disebabkan oleh Capripoxvirus. Penularannya boleh memberi kesan kepada ekonomi kerana mengganggu perdagangan ternakan dan produk ternakan di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohideen turut menggesa pihak berkuasa memperketatkan lagi syarat bagi import haiwan ternakan dari luar negara dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Pihak yang berkenaan juga perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana konsignmen lembu import yang menunjukkan gejala LSD di Stesen Kuarantin.

“Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, penyakit itu pertama kali dikenal pasti berlaku di Afrika sekitar 1929 sebelum merebak ke beberapa bahagian lain dunia.

“LSD dilaporkan sudah merebak di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, China Taipei, Vietnam dan Myanmar selain terkini dilaporkan menular di Thailand,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia gantung import lembu, kerbau dari Thailand