Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung pengimportan lembu dan kerbau daripada Thailand berkuatkuasa serta-merta selepas menilai risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang telah menular kepada lebih 41 wilayah di negara Thailand.

Menurutnya, ketetapan ini diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri (pengimport, peraih dan penternak) memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand.

Pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar di negeri dan daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang/kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

JPV berkata, walaupun penyakit LSD tidak zoonotik (tidak menjangkiti manusia), tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit.

Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau daripada negara Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia –
Thailand.

Kerjasama pihak berkuasa KASTAM dan MAQIS untuk mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau daripada negara Thailand. – MalaysiaGazette