KUALA LUMPUR – Suasana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar di Axiata Arena di Bukit Jalil amat disenangi dan menerima reaksi positif daripada penerima vaksin Covid-19.
PPV yang majoritinya dikunjungi warga emas dan juga Orang Kurang Upaya (OKU) itu lebih luas, teratur, selamat, cepat serta mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tinjauan MalaysiaGazette di PPV yang telah beroperasi sejak Isnin lalu mendapati pengunjungnya melahirkan rasa lega dan gembira dengan kemudahan yang diterima mereka.
Muhd Arif Qayyum, 28 yang merupakan bekas pesakit Covid-19 menyifatkan PPV itu seperti pandu lalu yang menawarkan perkhidmatan yang cekap dan pantas.
“Saya memang risau pada awalnya tapi bila datang ke sini, rasa semuanya berjalan dengan lancar sekali. Seperti pandu lalu, semuanya cepat dan selesai dalam tempoh 15 minit.
“Tempatnya juga luas dan tidaklah bersesak-sesak,” katanya yang menerima dos pertama vaksin Pfizer.
Bagi Rahimah Sulaiman, 73, yang menerima dos kedua mengalami pengalaman berbeza.
“Sebelum ini bukan di Axiata Arena Bukit Jalil, kali pertama di Cheras, walaupun teratur dan tidak banyak yang saya hendak adu tetapi di sini jauh lebih selesa. Rasa selamat juga,” ujarnya.
Linda Thomas, 73, yang menerima dos kedua melakukannya bagi memastikan orang disekelilingnya selamat.
Beliau tidak menghadapi sebarang masalah selain berasa selasa dan semuanya berjalan lancar.
“Dalam masa yang sekejap sahaja tamat sudah pengambilan vaksin dan saya rasa tidak ada apa-apa kesan. Kali pertama juga begitu, kali ini juga baik.
“Saya mohon kepada semua jangan takut sebaliknya fikirkan semua juga, ambil vaksin. Pihak berwajib juga telah sediakan tempat selesa dan baik sekali,” jelasnya.
Dalam pada itu, Cheryl Tan, 50, berpendapat kemudahan yang disediakan sungguh baik dan mahu lebih ramai tampil menerima suntikan vaksin.
“Semuanya ok, saya sihat dan tempat ini juga selesa, layanan baik dan paling penting kita rasa selamat,” katanya.
Supiah Mohd Nani, 73, loksi PPV Axiata Arena di Bukit Jalil, di sini, yang mudah diakses selain petigas yang mesra.
.“Semua yang ada di sini juga ramah dan saling membantu. Memang baik sekali,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Pengurus PPV Axiata Arena Bukit Jalil, Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi, pihaknya menetapkan hanya 1,600 penerima vaksin sehari dan ia akan ditambah secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Selain Axiata Arena Bukit Jalil, PPV mega yang akan dibuka esok ialah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dekat Shah Alam dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam. – MalaysiaGazette