Negara-negara kaya akan menyumbang lebihan dos vaksin Covid-19.

CARBISBAY, England – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berharap G7 bersetuju untuk menyumbangkan 1 bilion dos vaksin Covid-19 kepada negara-negara miskin semasa sidang kemuncaknya bermula pada hari Jumaat.

Hanya beberapa jam selepas Presiden Biden berjanji untuk menyumbang 500 juta vaksin Pfizer, Johnson memberitahu Britain akan memberikan sekurang-kurangnya 100 juta lebihan vaksin kepada negara-negara termiskin.

Johnson telah meminta pemimpin G7 untuk memberi komitmen untuk memvaksinasi seluruh dunia pada akhir tahun 2022 dan kumpulan itu dijangka menjanjikan 1 bilion dos dalam sidang kemuncak tiga hari di sebuah resort di pantai Carbis Bay.

Beberapa kumpulan mengadakan kempen mengecam rancangan itu.

Oxfam menganggarkan hampir 4 bilion orang akan bergantung pada COVAX untuk mendapatkan vaksin, program yang mengagihkan vaksin Covid-19 ke negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Hasil daripada kejayaan program vaksin di United Kingdom maka kami akan memberi lebihan dos yang ada kepada mereka yang memerlukannya,” kata Johnson.

Menurutnya, dengan berbuat demikian, UK mengambil langkah besar untuk membendung pandemik.

Covid-19 telah membunuh sekitar 3.9 juta orang dengan jangkitan dilaporkan di lebih daripada 210 negara dan wilayah sejak kes pertama dikenal pasti di China pada bulan Disember 2019. – MalaysiaGazette