Bolsonaro

BRASILIA – Kejohanan Bola Sepak Piala Copa America yang akan berlangsung pada Ahad esok boleh diteruskan seperti dijadualkan tuan rumah, kata Mahkamah Persekutuan Brazil hari ini.

Panel hakim mahkamah tersebut telah mengadakan persidangan tergempar untuk menyemak permohonan kehakiman untuk membatalkan kejohanan itu kerana bimbang penularan Covid-19.

Terdapat hujahan daripada pihak yang memfailkan petisyen berkenaan bahawa penganjuran Copa America di Brazil akan membahayakan jutaan nyawa rakyat.

Bagaimanapun panel hakim menjelaskan Perlembagaan Brazil tidak memberikan kuasa kepada mahkamah persekutuan untuk campur tangan dan menghalang penganjuran temasya itu.

Bagaimanapun mereka mencadangkan Gabenor dan Datuk Bandar Brazil supaya mengambil langkah keselamatan yang lebih proaktif untuk memastikan protokol kesihatan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sentiasa dilindungi.

Panel hakim juga meluahkan rasa terkilan terhadap keputusan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang mengambil keputusan pada saat-saat akhir untuk menganjurkan kejohanan itu di Brazil.

Kejohanan kali ini akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton di stadium.

Sebelum ini, Copa America ditangguhkan berikutan Covid-19 dan sepatutnya diadakan di Argentina dan Colombia.

Namun Colombia disingkirkan daripada menjadi tuan rumah termasya kali ini pada 20 Mei lalu berikutan ketidakstabilan politik.

Argentina pula dilanda penularan Covid-19 yang kritikal.

Perkembangan terbaharu kejohanan di Brazil mendapat bantahan daripada pasukan negara ini namun tidak berhasrat menarik diri daripada penyertaan tersebut.

Setiap pasukan dalam Copa America akan menjalani ujian saringan mandatori Covid-19 setiap 48 jam.

Malah pergerakan setiap pasukan dan para pegawai dihadkan dan mereka akan meneruskan perjalanan ke setiap venue perlawanan menggunakan pesawat yang disewa khas.- MalaysiaGazette