Barang-barang memproses air ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Puteri, Kulai baru-baru inj.
KULAI – Dua lelaki warga tempatan yang sedang leka memproses dan membungkus air ketum ditahan di sebuah kediaman teres dua tingkat di Jalan Sri Puteri 12/3, Taman Putri di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, serbuan  9 pagi  itu hasil maklumat daripada orang ramai serta intipan anggota polis baru-baru ini.

Hasil serbuan itu, polis menjumpai sejumlah 38 bungkusan plastik hitam mengandungi 50 peket plastik lutsinat dipercayai daun ketum.

Ia termasuk dua tong periuk, dua set dapur tungku memasak serta hos, satu unit penapis besi, gayung, penyenduk, penapis, penyumbang dan 107 botol ubat batuk serta nilai rampasan keseluruhan adalah RM7,000.

“Mereka dipercayai mendapatkan bekalan ketum dari Kedah bagi menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu.

“Malah kedua-dua suspek dipercayai mampu meraih keuntungan kira-kira RM12,000 sebulan hasil jualan air ketum,” katanya dalam sidang media.

Daun ketum yang dirampas itu dianggarkan seberat 380 kilogram.

Selain itu, pasukan polis turut menjumpai empat tong yang setiap satu berisi 30 peket plastik lut sinar berisi cecair bewarna merah kehijauan disyaki air ketum dalam anggaran 180 liter.

Katanya, polis juga merampas peralatan disyaki digunakan oleh kedua-dua suspek untuk memproses ketum.

Difahamkan, setiap bungkusan air berkenaan dijual pada harga RM15 dan polis percaya mereka turut menggunakan perkhidmatan penghantar makanan untuk menyampaikan bekalan berkenaan.

Air ketum itu dipercayai dibekalkan dipercayai bagi bekalan di sekitar Ulu Tiram, Pasir Gudang, Masai dan Kulai

Beng Yeow berkata, rampasan itu adalah terbesar di Kulai setakat ini dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek lain.

“Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 39 dan 45 tahun berkenaan mengaku terbabit dalam memproses dan mengedar air ketum.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun mereka memiliki  satu rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama,” ujarnya.

Mereka ditahan reman pada hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya selalu,” katanya. – Malaysiagazette