Seorang lelaki menjual rokok seludup secara terbuka di kawasan perumahan sekitar Relau, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Sekali pandang kelihatan seperti penjualan pelitup muka, namun di sebalik perniagaan itu seorang lelaki turut menjalankan kegiatan menjual rokok seludup di kawasan perumahan di Relau di sini.

MalaysiaGazette difahamkan, sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh  lelaki berkenaan melakukan penjualan rokok seludup di kaki lima sebuah pangsapuri berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, lelaki berkenaan menjadikan ruang kerusi disediakan pihak pengurusan di ruang lif sebagai lokasi penjualan selain tidak memakai pelitup muka walaupun berada di kawasan terbuka.

Seorang penghuni yang ingin dikenali sebagai Mydin berkata, setiap petang dia melihat lelaki tersebut berniaga pelitup muka dan rokok seludup secara terbuka di kawasan tersebut.

“Saya tidak pasti sama ada dia penghuni ini atau tidak memandangkan sini ada tiga blok perumahan dan dalam tempoh lockdown ini baru saya lihat kelibatnya di sini.

“Selain itu, saya tidak pasti bagaimana pihak pengurusan membiarkan perkara ini sedangkan jarak penjualan itu dengan pondok pengawal kurang 50 meter,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penghuni Anthony Tan berkata, dia tidak menolak kemungkinan pelaksanaan PKP menyebabkan lelaki itu masuk ke dalam kawasan perumahan untuk memastikan pelanggan tidak putus bekalan rokok seludup.

“Mesti dia mempunyai pelanggan di kawasan ini atau faktor kawasan perumahan ini agak berselindung membuatkan dia berani menjual secara terbuka.

“Kami tidak pasti siapa pembelinya sama ada penghuni sini atau orang luar namun kegiatan ini harus dibendung memandangkan kawasan perumahan ini duduki pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang berani menjual rokok seludup secara terbuka tambahan pula di kawasan perumahan,” ujar Anthony Tan. – MalaysiaGazette