Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Pelancongan berteraskan pendidikan (Edutourism) dijangka menawarkan potensi yang besar selepas wabak Covid-19 berjaya dikekang sepenuhnya dan mahasiswa dibenarkan untuk mengikuti program mobiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bidang pelancongan dijangka akan menjadi ‘sibuk luar biasa’ selepas tamatnya larangan pergerakan domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, Edutourism juga perlu bergerak seiring dengan pelancongan konvensional, malah diperluaskan ke peringkat global dan diberikan nilai tambah dengan penawaran jam kredit boleh pindah.

Katanya, idea itu dicetuskan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad ketika dalam perbincangan dengan duta dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada, Perancis dan Jerman.

“Pelaksanaan program ini mampu meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, justeru MQA akan memastikan pengiktirafan dalam program mobiliti ini dengan membuat libat urus dengan agensi akreditasi negara berkenaan.

“Secara prinsipnya, tiada masalah dalam pengiktirafan menerusi program mobiliti dalam konteks penerimaan pelajar kita di luar negara mahupun sebaliknya, justeru usaha ini boleh terus dilaksanakan nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, negara ini mempunyai kelebihan dalam Edutourism kerana Kerangka Kelayakan Malaysia sudah ditanda aras peringkat serantau di bawah inisiatif ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF), sama seperti amalan dilaksanakan di negara-negara Eropah di bawah inisiatif European Qualifications Framework (EQF).

Beliau berkata, kelebihan itu perlu dioptimumkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menawarkan program Edutourism yang menarik minat penuntut antarabangsa untuk datang ke Malaysia.

Katanya, persiapan perlu dilakukan IPT tempatan seperti kertas kerja pengisian program dan segala pakej Edutourism yang dirasakan mampu mengetengahkan bidang pelancongan di Malaysia.

“Komunikasi awal dalam talian, misalnya penganjuran seminar silang budaya dengan kerjasama IPT luar sudah boleh dimulakan supaya memudahkan urusan program secara fizikal apabila tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

“Apabila pelajar antarabangsa datang ke Malaysia nanti, pastinya mereka teruja untuk mengikuti program mobiliti berkredit ini kerana berpeluang melancong ke negara orang sambil belajar,” katanya. – MalaysiaGazette