KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang ditahan atas pelanggaran prosuder operasi standard (SOP) masih tinggi iaitu melebihi 800 orang sehari sejak kebelakangan ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap agar masyarakat mematuhi SOP kerana tanggungjawab mengekang penularan Covid-19 memerlukan kerjasama segenap lapisan rakyat.
Apatah lagi, sejak pelaksanaan total lockdown atau sekatan perjalanan penuh bermula 1 Jun lalu, kes baharu pandemik mula menunjukkan penurunan.
“Semoga trend positif ini akan berterusan sehinggalah kita dapat mengekang sepenuhnya penularan wabak pandemik ini.
“Dalam hal ini, operasi pematuhan prosedur operasi standard sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih terus ditingkatkan dengan penguatkuasaan dilaksanakan secara
holistik membabitkan semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri menambah, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja
Malaysia (PDRM) semalam telah melakukan 94,095 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
Jelas beliau, seramai 780 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP di mana daripada jumlah itu, seramai 748 individu dikompaun manakala 32 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (152), tidak memakai pelitup muka (137) dan gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (135)
“Kesalahan lain adalah tidak membawa penumpang berlebihan (54), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (70) dan lain-lain (232),” katanya. – MalaysiaGazette