Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar rasa terhina dengan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ia ekoran kenyataan menteri terbabit mengenai peranan Jawatankuasa (JK) Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan kerajaan.

Menurut Noh, kenyataan Takiyuddin itu seolah-olah menafikan jawatankuasa tersebut dan beliau salah seorang ahli jawatankuasanya.

“Adakah menteri merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri mengenai peranan JK Bebas Darurat? Saya minta menteri jelaskan apa sebenarnya peranan JK Bebas Darurat ini. Mengapa menteri-menteri PN suka buat kenyataan yg bercanggah dan flip flop yang boleh mengelirukan rakyat?” soalnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Takiyuddin bahawa menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA)  dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Takiyuddin semalam dalam satu kenyataan berkata, sama ada Proklamasi Darurat disambung atau sebaliknya selepas berakhir 1 Ogos ini, ia tertakluk kepada budi bicara YDPA.

Dalam pada itu, Noh mengandaikan semua yang berlaku  disebabkan tiada semak dan imbang oleh sesi Parlimen.

“Saya fikir mungkin kerana Parlimen tidak dibenarkan bersidang maka tidak ada semak dan imbang dan menteri boleh membuat keputusan sesuka hati sahaja.

“Sebelum ini, sorang menteri dah tutup pintu depan tapi ada pula menteri lain yang buka pintu belakang akibatnya jumlah mangsa Covid-19 semakin bertambah dan tempoh PKP 3 terpaksa disambung lagi dua minggu,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.

Jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain Noh, turut dilantik adalah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebagai pengerusi; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai; bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Prof. Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif dan ramai lagi.

Untuk rekod, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keputusan darurat selaras Perlembagaan – Takiyuddin