Lokasi kejadian seorang lelaki mati ditikam jirannya di rumah pangsa Taman Desa Jawi, Pulau Pinang awal pagi tadi.

JAWI – Seorang lelaki maut ditikam selepas menghalang tindakan jirannya memukul isterinya sendiri  di rumah pangsa di Taman Desa Jawi di sini awal pagi tadi.

Mangsa, A. Harinnderaruban, 35, mempunyai tujuh kesan tikaman di bahagian belakang badan itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa yang juga pemandu lori dan suspek berusia 27 tahun itu minum minuman keras hingga mabuk di kawasan luar rumah.

Susulan itu, pukul 3.45 pagi, masing-masing masuk ke dalam rumah dan suspek membuat bising sebelum perbuatan itu ditegur isterinya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, tidak puas hati selepas ditegur, suspek memarahi dan memukul isterinya sebelum masuk ke dalam bilik dengan membawa dua anak mereka.

Jelas beliau, kejadian berkenaan disedari seorang saksi yang juga penyewa bilik di rumah pasangan itu selepas mendengar bunyi bising.

“Saksi berusia 50 tahun itu melihat suspek memukul isterinya sebelum membawa masuk dua anaknya ke dalam bilik namun tidak lama kemudian dia keluar semula susulan terdengar bunyi kecoh di luar rumah.

“Curiga dengan bunyi bising saksi keluar melihat keadaan sebelum mendapati suspek berada di belakang mangsa dan menikamnya menggunakan pisau susulan tidak puas hati tindakan mangsa menghalang dirinya memukul isterinya.

“Saksi dan isteri suspek cuba menghalang tindakan suspek namun pisau yang dipegang lelaki itu terkena pada lengan saksi sebelum  suspek meneruskan tindakan memukul isterinya dengan lebih agresif,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Chong Chern, isteri suspek berjaya menyelamatkan diri selepas bergelut dengan suaminya manakala mangsa yang cedera sempat mengarahkan saksi kejadian menghubungi ambulans dan mendapatkan bantuan.

Jelas beliau, mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk mendapatkan rawatan namun dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Susulan itu, bertindak atas laporan pihak polis berjaya memberkas suspek di rumahnya yang ketika itu masih berada keadaan mabuk.

“Polis juga berjaya menemui sebilah pisau berukuran 25 sentimeter yang digunakan suspek untuk membunuh jirannya itu di lokasi kejadian.

“Suspek yang bekerja sebagai pemungut kelapa sawit itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Chong Chern. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast