Sembilan wanita asing disyaki pelacur antara 19 individu yang ditahan terlibat sindiket pelacuran dalam Ops Noda di sebuah hotel di Jalan Setapak Indah, malam tadi

KUALA LUMPUR – Seramai 19 individu, termasuk sembilan gadis warga asing,┬ádicekup dalam serbuan Operasi Noda di sebuah hotel di Jalan Setapak Indah, Setapak, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, operasi berkenaan telah dijalankan oleh pasukan cawangan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 9 malam.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di bilik hotel berkenaan, polis berjaya menahan lapan lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dipercayai pelanggan yang hadir untuk mendapatkan khidmat seks.

Sindiket pelacuran di hotel Jalan Setapak Indah tumpas di tangan polis D7 IPK KL dalam serbuan Ops Noda malam tadi. gambar Ihsan D9 IPK KL.

“Dalam serbuan sama, polis berjaya menaham seorang lelaki dan wanita tempatan yang merupakan pekerja menjaga kaunter berusia 34 dan 35 tahun.

“Pemeriksaan di dalam bilik hotel juga kita berjaya menahan sembilan wanita asing disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang datang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Nasri, dalam serbuan itu, polis menemui dan merampas 21 kondom, tiga tuala dan dua botol minyak Johnson, wang tunai RM400 dan krim pelincir.

Katanya, modus operandi sindiket pelacuran itu menutup pintu utama premis berkenaan seolah menggambarkan tiada sebarang aktiviti di premis itu.

Jelasnya, pelanggan diarah menggunakan pintu belakang dengan pergerakan setiap individu dipantau bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Menurut Nasri, semua suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 372 dan 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Sekseyn 6(1)(c) akta yang sama untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis turut mengeluarkan kompaun ke atas mereka yang ditahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – MalaysiaGazette