Polis menahan sebuah lori yang didapati membawa pesakit positif Covid-19 di kawasan Sungai Lalang, Sungai Petani di sini semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang pemandu lori disaman serta-merta selepas dikesan membawa sekumpulan pesakit positif Covid-19 secara terbuka menggunakan kenderaan perdagangan itu, di sini, semalam.

Pihak polis mengesan lori tersebut di kawasan Sungai Lalang, Bedong di sini selepas satu rakaman video menunjukkan sekumpulan pekerja asing memakai gelang merah jambu menaiki lori itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, lori tersebut dikesan pada jam 5 petang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda menghala ke kilang memproses ayam di Sungai Lalang di sini.

Adzli Abu Shah.

Katanya, hasil siasatan mendapati seramai 48 pekerja kilang proses ayam yang baru dipakaikan gelang merah jambu didapati menaiki lori untuk pulang ke asrama penginapan mereka.

“Hasil siasatan mendapati majikan kilang berkenaan mengatur tiga kali perjalanan lori itu untuk membawa semua 135 pekerja yang positif Covid-19.

Polis menahan lori yang digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 semalam.

“Lori yang kita tahan itu membawa kumpulan terakhir iaitu seramai 48 orang untuk pulang ke asrama,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Adzli, pemandu lori itu disaman kerana kesalahan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen kenderaan memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Pemandu lori disaman serta-merta kerana menggunakan lesen LKM untuk tujuan lain.

Manakala pihak pengurusan kilang turut disiasat Seksyen 22 (b) Akta 342 kerana kesalahan tidak mematuhi perintah dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 19 minit menunjukkan sekumpulan pekerja asing yang memakai gelang merah jambu dibawa menaiki sebuah lori.

Difahamkan video itu dirakam orang awam ketika pekerja berkenaan dalam perjalanan ke PKD Kuala Muda di sini semalam. – MalaysiaGazette