5,738 new Covid-19 cases have been recorded today and shifted the cumulative Covid-19 tally to 678,764 cases Covid-19 deaths Rt value
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Setelah hampir sebulan kes baharu Covid-19 melepasi lebih 6,000 kes, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini pertama kali merekodkan angka baharu bawah 5,000 kes sejak 18 Mei lalu.

Kes positif baharu kali ini mencatatkan sebanyak 4,949 kes setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor masih negeri yang mencatatkan bilangan paling tinggi dengan 1,523 kes.

Ini diikuti Sarawak dengan 744 kes, Kuala Lumpur (503), Johor (430), Negeri Sembilan (323), Sabah (273), Pulau Pinang (214) dan Kelantan (214).

Manakala negeri di bawah 200 kes pula ialah Kedah (199), Perak (136), Melaka (119), Labuan (113), Terengganu (86), Pahang (61), Putrajaya (10) dan Perlis (1).

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada jumlah itu, sebanyak 4,943 adalah kes tempatan dan enam kes pula merupakan import.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 662,457 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 71,625 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jumlah kes kematian hari ini masih tinggi dengan 60 kes dan berlaku penurunan sebanyak empat kes berbanding 64 yang direkodkan semalam.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,968 kes,” katanya.

Selain itu, kadar kes sembuh juga agak tinggi direkodkan hari ini dengan 6,588 kes berbanding 5,304 semalam menjadikan kumulatif kes sembuh berjumlah 586,864 kes.

Manakala 921 kes pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 459 kes pula memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette