Pemilik Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 memberi kesan berpanjangan kepada para peniaga dan ia realiti yang perlu ‘ditelan’.

Apatah lagi apabila pendapatan mereka merosot hampir 80 hingga 90 peratus ditambah pula dengan pelbagai tekanan untuk membayar balik pinjaman dan hutang sedia ada.

Sehingga ada terpaksa menutup perniagaan dan melakukan perkara tak diingini gara-gara tekanan yang ditanggung.

Pemilik restoran makan Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad melahirkan rasa bimbang dengan keadaan ‘pandemik ekonomi’ sekarang.

“Serius saya cakap, lagi dua bulan jika ini (PKP) berterusan pastinya nasib kami Allah sahaja yang tahu. Matilah kami jika terus begini. Pendapatan merosot sehingga 90 peratus atau lebih. Rugi puluhan ribu. Menggeletar saya.

“Kali ini jauh lebih teruk, dengan waktu perniagaan sudah dipendekkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam, sememangnya merosot lagi jenis pelanggan makan awal pagi sekitar 6 pagi, kemudian yang beli makanan lepas pukul 7 dan 8 malam.

“Hakikatnya perniagaan sudah merosot sejak perintah tidak boleh dine in sejak 6 Mei lepas, sekarang PKP sudah disambung sehingga 28 Jun. Bayangkan? Kesusahan idatang bertimpa-timpa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Malah Ibrahimshah mengakui mahu mendapatkan keuntungan kira-kira RM200 pun susah dan dalam masa sama terpaksa menanggung gaji pekerja dan perbelanjaan lain.

“Restoran ini dibuka dengan konsep dine in, kini sudah tidak ada pelanggan lagi, tapi pekerja saya masih sedaya upaya terus menggajikan mereka, ke mana hala tuju mereka tapi PKP ini semakin membebankan.

“Saya faham saya harus akur dengan penguatkuasaan semula PKP untuk tujuan mengawal penularan Covid-19 dan peniaga yang terjejas teruk perlu istiqamah di sebalik ujian dari Allah tapi tidak pasti sehingga bila penderitaan ini,” katanya lagi.

Kata Ibrahimshah yang juga pemilik restoran nasi kandar L&S Food Corner, pihaknya berharap seandainya kerajaan boleh memberi sedikit kelonggaran dengan memanjangkan waktu perniagaan antara 6 pagi sehingga 10 malam.

ia dilihat perlu kepada rata-rata masyarakat yang bergantung harap membeli makanan luar khasnya selepas jam 6 atau 7 malam.

“Saya bukan minta dine in, saya sendiri jika boleh hendak total lockdown ini berikan kami sedikit kelonggaran, semua garis panduan sememangnya kami ikut. Lagi pun fikirkan juga golongan yang keluar awal pagi dan balik lewat.

“Ramai juga pelanggan kami mengeluh kerana kami tidak dapat buka awal dan tutup cepat, mereka tidak sempat membeli, ramai juga yang walk in. Bayangkan yang pergi kerja pukul enam atau tujuh pagi tapi kedai belum buka,” ujarnya.

Menurut beliau, ia bukan kali pertama rakyat melalui fasa PKP malah sudah beberapa kali sebelum ini dan sudah pasti sudah pasti sudah ada perancangan lebih baik bagi menangani isu-isu yang berlaku.

” Kami tidak bantah PKP tetapi berilah ruang untuk kami bernafas,” rayunya.

Baru-baru ini Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) merayu supaya kerajaan melanjutkan waktu operasi restoran dari 6 pagi hingga 10 malam ketika PKP 3.0.

SOP PKP 3.0 menetapkan tempoh operasi semua premis perniagaan termasuk kedai makan bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Kerajaan minggu lepas memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKP untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa bermula esok sehingga 28 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast