Girone dan Latorre

NEW DELHI – Mahkamah Tertinggi India hari ini telah menutup kes pendakwaan jenayah ke atas dua pegawai marin Itali yang didakwa membunuh dua nelayan pada Februari 2012.

Pada tahun lalu, Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa berkata, kedua-dua tertuduh, Salvatore Girone dan Massimiliano Latorre, berhak mendapat imuniti daripada pendakwaan kes tersebut

Bagaimanapun panel sama memutuskan India berhak menuntut pampasan setimpal.

Kerajaan India memutuskan untuk menerima keputusan mahkamah timbang tara tersebut dan menghantar petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk menutup kes yang masih tertunggak.

Pada April lalu mahkamah menyatakan kes itu akan ditutup selepas Itali menjelaskan wang pampasan berjumlah 100 juta rupees (AS$$1.3 juta) yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Panel dua hakim Mahkamah Persekutuan India pada hari ini menyatakan pihaknya berpuas hati dengan wang pampasan yang dibayar oleh kerajaan Itali.

Bagaimanapun kes berprofil tinggi itu mengakibatkan hubungan diplomatik di Delhi dan Rom dan Itali menjadi tegang.

Semasa insiden itu, kedua-dua pegawai marin Itali yang bertugas di atas kapal tangki Itali telah menembak dua bot nelayan di perairan Kerala.

Kedua-dua pegawai berkata, mereka menyangka neklayan itu adalah lanun dan Itali mempertahankan tindakan itu kerana  nelayan India gagal mematuhi amaran untuk tidak mendekati kapal MV Enrica Lexie.

Namun dua pegawai tentera marin Itali itu ditahan pihak berkuasa India pada 2012 dan didakwa di mahkamah atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disebabkan perbicaraaan tertangguh, kedua-dua individu itu direman untuk beberapa tahun sebelum dibenarkan kembali ke Itali  pada 2014 dan 2016.

Kemudian kedua-dua negara merujuk kes itu ke Mahkamah Tetap Timbang Tara. – MalaysiaGazette