Orang ramai hadir pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuka kaunter Bantuan Khas Kerajaan (BKK) mulai hari ini untuk permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menerusi kenyataan LHDN memaklumkan, kaunter itu akan dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari berdasarkan waktu bekerja bagi setiap negeri serta melalui janji temu sahaja.

“Ia juga terhad kepada pelanggan yang berisiko rendah berdasarkan aplikasi MySejahtera. Pelanggan yang hadir wajib mematuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan seperti mengimbas aplikasi MySejahtera, sentiasa memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal,” kata agensi itu.

Pertanyaan berkaitan BPR boleh diajukan kepada talian BKK di 1800-88-2747 yang dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat).

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tempoh rayuan bagi permohonan BPR yang tidak diluluskan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini.

Kenyataan LDHN turut memaklumkan urusan bagi Kaunter Duti Setem (Pejabat Setem Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil) kekal dibuka kepada pelanggan dan Pembayar Duti Individu yang tidak boleh mendaftar sebagai pengguna Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) seperti ditetapkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Waktu operasi kaunter adalah berdasarkan hari bekerja di setiap negeri iaitu dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Turut kekal beroperasi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran Kuching pada Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Talian pejabat akan berfungsi seperti biasa dengan waktu operasi terhad iaitu bagi Hasil Care Line (Pusat Panggilan dan Live Chat) waktu operasi ialah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang manakala bagi ibu pejabat atau cawangan LHDN, talian adalah ditutup.

Menurut kenyataan itu, pelanggan disyorkan membuat semakan senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Senarai itu boleh dicapai melalui pautan phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_1.pdf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast