Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 27 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan pertanian di Cameron Highlands tidak menjejaskan bekalan, terutama sayur-sayuran, di pasar.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah mengarahkan kementerian berkenaan untuk mengambil langkah proaktif supaya PKPD di kawasan berkenaan hanya memberi impak minimum terhadap bekalan bekalan dan tidak menjejaskan harga barang keperluan.

“KPDNHEP melalui penguat kuasa di seluruh negara khususnya di Negeri Pahang dan Perak akan memantau secara berterusan kedudukan bekalan dan harga bagi jenis-jenis sayur tertentu yang biasanya dibekalkan oleh pekebun-pekebun dari Cameron Highlands itu.

“KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak ke paras yang tidak munasabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Alexander, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan kepada pembekal yang mengambil keuntungan tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini.

Tambah beliau, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, perbadanan atau syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“Bagi bukan perbadanan/individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.

Jelasnya, Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDNHEP telah menjalankan analisa dan mendapati berdasarkan data harga pada 13 Jun lalu terdapat penuruna harga sebanyak 2.16 peratus pada tomato berbanding hari sebelumnya, \capsicum kuning (-0.13%) capsicum merah (-1.47%), kubis bulat tempatan (-0.86%) dan buncis (-0.67%).

Kenaikan harga sayur dicatatkan bagi timun sebanyak 1.01 peratus dan capsicum hijau 0.36 peratus.

Sayuran seperti timun Jepun dan daun salad tidak dipantau oleh Kementerian kerana dikategorikan sebagai barangan bukan keperluan asas pengguna.

Untuk rekod, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan beberapa kawasan di Cameron Highlands dikenakan PKPD bermula 12 Jun lalu.

Antara kawasan pertanian yang dikenakan PKPD adalah Kampung Raja iaitu Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja. – MalaysiaGazette