Kapal tangki yang ditahan APMM di Pulau Kendi di sini semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh di perairan ini tanpa kebenaran pada kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Kendi di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, kapal tangki ENEOS OCEAN yang berdaftar di Jepun itu dikesan pihaknya ketika melakukan pemantauan Op Pertiwi/Op Benteng Laut pada jam 4 petang.

“Hasil siasatan mendapati kapal itu dalam perjalanan dari Singapura ke Fujuriah, Emiriah Arab Bersatu.

“Terdapat 26 kru dalam kapal itu yang terdiri daripada empat warga Jepun dan 22 kru warga Filipina yang kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd Razak, nakhoda dan tiga daripada kru kapal terbabit dibawa ke ibu pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah,” ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau sebarang kecemasan di laut boleh hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04 262 6146 atau talian kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette