Pemandu bas kilang dan majikan dikompaun RM12,000 selepas mengingkar SOP PKP dan membawa 34 pekerja pembinaan stesen MRT melebihi kapasiti 50 peratus yang disyaratkan MKN kali ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan berani seorang pemandu bas kilangĀ  melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dengan mengangkut 34 pekerja binaan membawa padah.

Pemandu bas itu dikesan ingkar SOP ketika ia berhenti berhampiran sebuah bank di Jalan Tun H.S.Lee sekitar 7.30 pagi tadi.

Kebetulan ketika itu sepasukan polis sedang terlibat dalam pemantauan pematuhan SOP di ibu negara.

“Pemeriksaan mendapati bas itu membawa 34 penumpang iaitu pekerja warga asing untuk tapak pembinaan stesen Mass Rail Transit (MRT) di sini, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Bas kilang membawa 34 pekerja asing ke tapak binaan stesen MRT di ibu negara ditahan dan diperiksa di tepi jalan sebuah bank di ibu negara oleh pasukan pemantau pematuhan SOP IPD Dang Wangi dalam insiden pagi tadi.

Sepanjang PKP penuh, pengangkutan awam hanya dibenarkan membawa 50 peratus daripada kapasiti penumpang.

Mohamad Zainal berkata, pemandu bas berkenaan telah diarahkan untuk tampil segera ke Balai Trafik untuk tindakan lanjut sebelum dikenakan kompaun RM2,000 manakala majikannya telah dikenakan kompaun RM10,000.

Menurut pekerja asing kesemuanya yang dibawa dalam bas itu tidak dikenakan tindakan kerana tidak bersalah disebabkan mereka hanya akur dengan arahan majikannya. – MalaysiaGazette