Datuk Norliza Abdul Rahim

GEORGE TOWN  – Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang mendesak Kementerian Pendidikan menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Perundingan bagi mengubal rancangan dan strategi pasca Covid-19.

Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu perlu terdiri daripada wakil tenaga pengajar semua aliran sekolah dan pakar-pakar pendidikan.

Jelas beliau, rancangan dan strategi itu juga  harus menyelesaikan jurang perbezaan dan mereka bentuk satu strategi jangka masa panjang bagi memastikan kualiti pendidikan negara tidak terjejas akibat impak pandemik Covid-19.

“Saya bimbang impak ke atas sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah susulan daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang berlarutan kini.

“Ini kerana situasi itu telah melebarkan jurang perbezaan antara pelajar golongan berada dengan kurang berada serta antara pelajar dari kawasan bandar dan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang menegaskan keberkesanan PdPR mesti dinilai dengan segera bagi menepis sebarang penurunan secara mendadak kualiti sistem pendidikan negara.

“Kaedah PdPR untuk sekolah rendah dan menengah adalah baharu dalam sistem pendidikan negara malah ia dilaksanakan tanpa sebarang perancangan yang teratur akibat daripada pandemik sejak tahun lepas.

“Selain itu, guru-guru juga tidak dilatih untuk mengendalikan pengajaran secara atas talian dan ini turut memberi impak kepada pelajar apabila mereka tidak dapat taksirkan pembelajaran tersebut menerusi atas talian,” kata Norliza. – MalaysiaGazette