Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaludin mempengerusikan Mesyuarat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Para pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam sesi 2021 dijangka menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di sekolah masing-masing Julai ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, mereka akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Ia turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Khairy juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu memaklumkan pasukan bergerak khas  akan digerakkan ke kawasan pedalaman  temasuk pulau dan penempatan Orang Asli bagi memberikan perkhidmatan vaksinasi Covid-19 kepada semua peringkat.

Menurutnya, mobile outreach team itu dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk pedalaman di mana kawasan itu biasanya tiada askes kepada capaian internet untuk membuat pendaftaran.

Ia sekali gus bagi memastikan negeri Pahang mencapai sasaran 80 peratus sebelum menjelang Oktober yang dijangka musim tengkujuh.

“Selesaikan semua dos sebelum hujung Oktober supaya nanti sebab tidak mahu musim tengkujuh tiba namun masih mencari penduduk untuk divaksinasikan.

Mobile outreach kita masuk kampung pedalaman, suntik vaksin, ambil nama masuk sistem, jadi sangkaan mengatakan penduduk pedalaman tidak dapat mendaftar vaksin meleset sama sekali,” katanya.

Selain itu, keperluan membuka di pedalaman dan luar bandar terutama di Kuala Lipis, Bera, Bentong, Jerantut akan ditambah bagi menjamin keselesaan orang ramai dan Klinik Kesihatan sebagai Pusat Penerimaan Vaksin (PPV).

“Menjelang Julai sebanyak Julai 440,000  dos akan dihantar ke Pahang dan diharapkan dapat diguna dengan cekap oleh kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Saya harap dengan pembukaan lebih banyak PPV di Pahang akan menaikkan lagi kadar suntikan penerimaan vaksin,” ujarnya.- MalaysiaGazette