Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, tindakan yang diambil oleh Al-Sultan dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin politik menunjukkan bahawa Al-Sultan amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik.

“Pas menyanjung tinggi titah Al-Sultan yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasatan tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak ini dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seruan Al-Sultan agar kerajaan membuka sidang Parlimen secepat mungkin juga selaras dengan usaha yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan kini.

“Pas menjunjung tinggi titah pandangan Al-Sultan agar kerajaan segera mengadakan sidang parlimen, mempercepatkan pemberian vaksin serta penting adanya kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut menambah, Pas yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.

Menurutnya, ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.

“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Pas melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” ujarnya.

Pada Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast