Kerangka besi bagi projek pembinaan sebuah lebuh raya yang runtuh dan mengakibatkan dua pekerja warga asing cedera dalam kejadian di Lebuh Raya NKVE Sungai Buloh - Kota Damansara hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua pekerja warga asing cedera selepas kerangka besi bagi projek pembinaan sebuah lebuh raya runtuh dalam satu kejadian di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) Sungai Buloh – Kota Damansara, dekat sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Pegawai Bomba Kanan II Andrew Vengitasamy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.14 malam sebelum sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa yang terkena kerangka besi sudah diangkat keluar oleh pekerja yang berada di kawasan tersebut.

“Seorang pekerja didapati tidak sedarkan diri manakala seorang lagi mengalami kecederaan dari bahagian pinggang ke bawah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Kerangka besi bagi projek pembinaan sebuah lebuh raya yang runtuh dan mengakibatkan dua pekerja warga asing cedera dalam kejadian di Lebuh Raya NKVE Sungai Buloh – Kota Damansara hari ini.

Mengulas lanjut, Andrew berkata, kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu kemudiannya dibawa menggunakan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia dan EMRS ke Hospital Sungai Buloh.

Jelas Andrew, pihaknya mengambil masa sekitar 20 minit di lokasi kejadian bagi memberi rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit di bawah runtuhan tersebut.

Difahamkan kerangka besi yang runtuh itu setinggi 12 meter dan ketika kejadian kedua-dua mangsa warga Bangladesh sedang menjalankan kerja di bahagian bawah. – MalaysiaGazette