Temubual bersama pesara tentera, Suria Mohamad yang menginap di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas pesara tentera, Suria Mohamad Hassan berkata, dia reda dengan segala tohmahan dan kata nista yang dilemparkan terhadap dirinya selama ini.

Bekas anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Bosnia itu berkata, mereka yang berkata demikian tidak berada di tempatnya yang terpaksa menempuh kepahitan hidup sebelum penularan wabak Covid-19 lagi.

Lelaki berusia 59 tahun tu lebih gemar mendiamkan diri dan tidak mahu berkongsi kesusahan hidup dengan sesiapa termasuk kawan rapat.

“Apa yang berlaku (kisah viral) secara mendadak dan saya tidak sangka sampai ke pengetahuan orang atasan sampai ada juga kata-kata yang hina saya.

“Saya terima dan reda apa yang mereka cakap kerana mereka tidak tempuhi apa yang saya lalui pahit maung sebelum Covid-19.

“Saya meniaga macam-macam dan bukan duduk sahaja. Bangun tidur saya meniaga mencari nafkah untuk anak dan isteri kerana itu tanggungjawab saya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Anak-anak pesara tentera, Suria Mohamad membuat persiapan di kediaman sementara sebelum dipindahkan ke rumah tetap mereka di Flat Sri Johor, Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2021.

Beliau ditemui selepas lawatan ihsan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di ‘rumahnya’ di bawah jambatan Loke Yew.

Susulan daripada pendedahan itu Rina mengambil inisiatif memindahkan tujuh beranak yang tinggal di bawah jambatan Loke Yew di sini ke rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras serta-merta.

Kata beliau, Suria, isteri bersama lima anak mereka akan ditempatkan di rumah itu selama seminggu.

Jelas beliau, selepas ini pihak kementerian berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mendapatkan rumah yang selesa untuk diduduki dan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Mengenai perancangan selepas ini, Suria memberitahu dia akan meneruskan  perniagaan buah-buahan walaupun bakal mendapat kediaman baharu di kawasan lain.

Jelas beliau, pada masa sama, dia akan mendapatkan rawatan terbaik untuk anak kedua dan bongsunya yang mengidap asma dan paru-paru berair.

Azariyah Abd Aziz melakukan persiapan di kediaman sementara sebelum dipindahkan ke rumah tetap mereka di Flat Sri Johor, Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2021.

Selain itu dia juga akan menyelesaikan surat beranak bongsu yang masih belum dibuat gara-gara tidak mampu membayar kos lewat pendaftaran surat itu.

“Saya juga terasa tehutang budi dengan semua pihak termasuk menteri, pengarah, semua sekali, media, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pelbagai agensi dan orang ramai yang memberi sumbangan dan yang masih ingat dengan saya.

“Saya ucap terima kasih dah hanya Allah yang mampu membalas kebaikan semua. Begitu juga dengan kawan-kawan yang telefon dan menangis dengan nasib keluarga saya,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette mendedahkan kehidupan Suria bersama keluarga di bawah jambatan sejak November 2019.

Bekas pesara tentera itu yang bekerja sebagai penjual buah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tinggal di Flat Sri Sabah bersama keluarga mertua.

Namun gara-gara jumlah penghuni yang ramai di situ melebihi 13 orang, memaksa dia membawa isteri dan anak-anak tinggal di bawah jambatan.

Suria dan Azariyah berkahwin pada tahun 2012, yang mana ia adalah perkahwinan kedua buat mereka dan dikurniakan empat anak iaitu Saidatina Nurain, 9, Shahwal Wafi, 7, Aishah, 5, dan Mawar, 3.

Seorang lagi anak yang tinggal bersama adalah hasil perkahwinan pertama Azariyah.

Dia mendapat pencen tentera sebanyak RM900 sebulan namun perlu membayar kepada ah long sebanyak RM600 sebulan kerana membuat pinjaman untuk modal meniaga buah-buahan sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.